SALAM MAHABBAH BUAT SEMUA SAHABAT

Tuesday, 6 November 2012

Solat Jumaat Pada Hari Raya



Solat Jumaat pada Hari raya

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين, والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين, وعلى آله وأصحابه أجمعين

Alhamdulillah, sukacita pihak kami menjelaskan hukum seperti tajuk di atas:


Di sisi jumhur ulama termasuk mazhab Syafie, kewajipan mendirikan Jumaat  tidak  gugur dengan sebab bersamaan dengan tarikh Hari Raya. 

Firman Allah S.W.T dalam surah  (الجمعة ) al-Jumu`ah, ayat 9;

 ياأيها الذين آمنوا إذا نودى للصلاة من يوم الجمعة فاسعوا إلى ذكر الله وذروا البيع
Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman!  Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat Jumaat pada hari Jumaat maka bersegeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah dengan mengerjakan solat Jumaat dan tinggalkan jual beli pada saat itu”. 

Dalam hadis Rasulullah SAW bersabda:

عن عبد الله بن عمر وأبى هريرة رضى الله عنهم . أنهما سمعا رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول – على منبره- : "لينتهين أقوام عن ودعهم الجمعات . أو ليختمن الله على قلوبهم . ثم ليكونن من الغافلين".  رواه المسلم  
Bermaksud: “Daripada  Abdullah Bin Umar   dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka  mendengar daripada Rasulullah s.a.w  ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya:  “Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan solat Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?”.Hadis Riwayat Muslim.


Sehubungan persoalan di atas, Dr.Wahbah az-Zuhaili (وهبة الزحيلي) dalam kitab al-fiqh al- Islami Wa Adillatuh (الفقة الإسلامى وأدلته) , jilid 2, halaman 1420, menjelaskan:

 "وقال الجمهور : تجب الجمعة, لعموم الآية الآمرة بها, والأخبار الدالة على وجوبها, ولأنهما صلاتان واجبتان, فلم تسقط إحداهما بالأخري, كالظهر مع العيد".

 Maksudnya:“Jumhur ulama berpendapat:  solat Jumaat itu adalah wajib, kerana ada perintah umum nas al-Quran berkenaan kewajipan solat Jumaat, dan ada hadis yang menunjukkan kewajipan mendirikan solat Jumaat, kerana kedua-dua solat itu (solat Jumaat dan solat Zohor) adalah fardhu , tidak gugur kewajipan salah satu solat dengan sebab ada solat yang lain (pada hari yang sama) seperti kewajipan mendirikan solat  Zohor bersamaan Hari Raya”. 

Manakala menurut mazhab Hanbali, kewajipan solat Jumaat gugur sekiranya ia telah mendirikan solat Hari Raya, ini kerana waktu solat Jumaat dan Solat Eid adalah sama dan juga memperolehi tujuan “berhimpun” dengan mendengar mendirikan dua khutbah Hari Raya.


Daripada penjelasan di atas, solat Jumaat tidak gugur dengan sebab bersamaan dengan  Hari Raya. Inilah pendapat yang diterima pakai berdasarkan pendapat Syafie dan Jumhur ulama.


Demikianlah penjelasan pihak kami
والله تبارك وتعالى أعلم

Disediakan oleh :
Pejabat Mufti Negeri Sabah
24/10/2002M
18 Sya`ban 1423H


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...