SALAM MAHABBAH BUAT SEMUA SAHABAT

Saturday, 1 December 2012

Sekitar Persoalan Hukum Mengucapkan Dua Kalimah Syahadah


Iman

Iman adalah membenarkan تصديق) ( segala perkara  yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW yang diketahui dari agama dengan jalan dhoruroh (perkara mudah diketahui tanpa berhajat kepada berfikir seperti orang Islam wajib solat. Maklumat tersebut jika di tanya kepada kanak-kanak atau mereka yang baru mengenali Islam sekalipun, mereka boleh menjawab. ) secara ijmal (umum) atau secara tafsil (terperinci).

Apa yang dibawa oleh Sayyiduna Muhammad SAW adalah Islam yang tiada kejayaan bagi seseorang melainkan setelah memeluknya.

 Ini kerana Allah SWT telah berfirman dalam Surah al An’am ayat 162-163:

162.katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
163.Tiada sekutu bagiNya, dan Dengan Yang demikian sahaja Aku diperintahkan, dan Aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam Yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)". (Surah al An’am ayat 162-163)


Allah SWT berfirman lagi dalam Surah Ali Imran ayat 20:

20.Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah: "Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang Yang mengikutku". dan Bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang diberi kitab, dan orang-orang Yang "Ummi" (orang-orang musyrik Arab): "Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (ugama Islam Yang Aku bawa itu)?" kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam), maka Sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya.”(Surah Ali Imran ayat 20)


Memadai dengan hujah-hujah di atas, bahawa dapat difahami tiada kejayaan dalam diri seseorang disisi Allah Taala kecuali berada dalam agama Islam.

Allah SWT berfirman lagi dalam Surah ali Imran ayat 84-85:

84.Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa Yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa Yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim, dan lsmail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa Yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah Kami berserah diri (Islam)".
85.Dan sesiapa Yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang rugi. (Surah ali Imran ayat 84-85)


Allah SWT berfirman dalam Surah al Baqarah ayat 132:

132.dan Nabi Ibrahim pun berwasiat Dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu Dalam keadaan Islam". Agama Islam adalah agama Allah yang telah diutuskan untuk sekelian Rasul-Nya. (Surah al Baqarah ayat 132)


Allah SWT berfirman dalam Surah ali-Imran ayat 67:

67. bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi ia seorang Yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.(Surah ali-Imran ayat 67)


Hukum Mengucap Dua Kalimah Syahadah

Kalimah Syahadah:

“Aku bersaksi tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi Nabi Muhammad Utusan Allah”

1.Menuturkan kalimah syahadah adalah wajib bagi orang yang bermampuan dan berkuasa, untuk mengesahkan keimanan.

2.Orang yang tidak berkuasa iaitu orang yang bisu, oleh itu tidak di tuntut terhadap mereka menuturkan syahadah.

3.Orang yang tidak bermampuan ialah orang yang tiba-tiba terputus keinginan diri sebelum  sahaja menuturkan syahadah tanpa diselangi jangka masa yang panjang(atau erti kata lain, berhajat nak mengucap syahadah, tetapi tiba-tiba diserang penyakit yang memutuskan keinginan diri) . Mereka adalah mukmin di sisi Allah.

4.Tidak memadai menggantikan lafaz أشهد dengan kalimah lain, sekalipun kalimah lain itu mempunyai maksud yang sama dengan أشهد.

5.Menuturkan syahadah membawa makna penyembahan, oleh sebab itu, wajib tertibترتيب  antara dua syahadah dan muwalat موالاة  antara keduanya.

6.Keislaman seseorang sah sebaik sahaja mengucapkan syahadah meskipun bukan dalam bahasa arab, namun, mengucapkan dalam bahasa arab lebih baik.

7.Tidak memadai mengucapkan dua kalimah syahadah sekiranya penutur tidak memahami kehendak makna dua syahadah tersebut.

8.Wajib beriman dan ikrar bahawa risalah Nabi Muhammad SAW untuk seluruh alam samada arab atau bukan arab عجم.

9.Mengucap kalimah syahadah adalah syarat berlaku hukum-hakam orang beriman terhadap penuturnya. Undang-undang yang dimaksudkan ialah seperti hak warisan harta pusaka, pernikahan, solat jenazah, tanam di perkuburan orang Islam dan tuntutan untuk dilaksanakan seperti solat dan berzakat.
Hal ini kerana membenarkan Iman itu di dalam hati dan ia tersembunyi atau tidak boleh dikesan oleh pancaindera. Oleh kerana itu, alamat dan petunjuk zahir keimanan itu wajib. Barangsiapa yang ikrar hanya di lisan tanpa disertakan di hati, mereka adalah munafiq. Hukum-hakam orang beriman tetap berlaku keatas mereka di dunia tetapi disisi Allah mereka bukan orang beriman. Perkara yang disebutkan selagi mereka tidak menunjukkan kekufuran dengan perlakuan yang zahir seperti sujud pada berhala atau menghina al Quran.

10.Adapun orang-orang yang enggan iaitu mereka yang diperintahkan mengucap dua kalimah syahadah lalu mereka enggan, mereka adalah kafir di hukum-hakam dunia dan disisi Allah. Tiada manfaat terhadap mereka jika mereka hanya membenarkan iman di dalam hati.

11.Barangsiapa yang terlintas kecurigaan شبهة, mereka wajib bersegera menghilangkannya dengan berfikir terhadap dirinya atau bertanya kepada ahli ilmu. 

Ini kerana Allah SWT telah berfirman dalam Surah al Baqarah ayat 23:

23.dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa Yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah Yang sebanding Dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang Yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang Yang benar.”(Surah al Baqarah ayat 23)


Allah SWT berfirman lagi dalam Surah Yunus ayat 94:

94.Oleh sebab itu, sekiranya Engkau (Wahai Muhammad) merasa ragu-ragu tentang apa Yang Kami turukan kepadaMu, maka Bertanyalah kepada orang-orang Yang membaca Kitab-kitab Yang diturunkan dahulu daripadamu (kerana mereka mengetahui kebenarannya). Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali Engkau menjadi dari golongan Yang ragu-ragu.”(Surah Yunus ayat 94)


Allah SWT berfirman lagi dalam Surah Al Anbiya’ ayat 7:

7.dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (Wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki Yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka Bertanyalah kamu kepada AhluzZikri" jika kamu tidak mengetahui.”(Surah Al Anbiya’ ayat 7)


12.Barangsiapa yang hatinya dilintasi dengan pelbagai lintasan dan perasaan was-was tetapi tidak sampai tahap curiga, hendaklah meminta perlindungan dengan Allah lalu berkata:

أمنت بالله ورسوله
“aku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya”

Selanjutnya Allah SWT berfirman lagi dalam Surah Al-A’raf ayat 200:

200.dan jika Engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”(Surah Al-A’raf ayat 200)

13.Anak-anak orang Islam dihukum orang beriman. Hukum-hakam duniawi akan berlaku keatas mereka sekalipun merkea tidak pernah mengucap dua kalimah syahadah sepanjang umur mereka.


Rujukan : Aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah, Syaikh Ali Jumaah, Mufti Republik Mesir








No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...