Ilmuan-ilmuan Islam
yang terkenal seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud dan lain-lain
imam muhaddithin yang mana mereka sudahpun menghafal ratusan ribu hadis masih
tetap mengamalkan agama berdasarkan mazhab imam-imam mujtahid walaupun pada
pandangan mata umum apalah perlunya mereka bertaqlid sedangkan mereka mempunyai
ilmu agama yang jauh lebih daripada cukup?
Di sinilah bezanya
antara fuqaha (ahli-ahli fiqh) dan muhaddithin (ahli-ahli hadith). Apabila
seseorang itu mengetahui beribu hadis sekalipun, tetapi dia tidak mempunyai
ilmu yang cukup untuk membahaskannya, maka dia tidak layak untuk mengeluarkan
sesuatu pendapat.
Mereka-mereka yang mempelajari Sunan Tirmizi pasti mengetahui bahawa apabila membincangkan masalah fiqh, Imam Tirmizi tidak pernah mengambil pendapat guru beliau Imam Bukhari, tetapi beliau menyebut nama-nama seperti Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad atau ulama Kufah iaitu Imam Abu Hanifah.
Dapat kita fahami di sini, bahawa setinggi manapun ilmu hadith seseorang itu,
belum tentu dia layak mengeluarkan fatwa sekiranya dia tidak mempunyai ilmu
fiqh yang cukup. Sekiranya datang dua nas bertentangan antara satu sama lain,
yang mana kedua-duanya adalah sahih dan sama kuat, yang mana satukah akan kita
ambil? Ini hanya dapat dilakukan seandainya kita mampu memahami selok-belok
ilmu fiqah, bukan dengan hanya bersandarkan kepada kesahihan semata-mata.
Sebagai contoh ingin penulis menceritakan di sini perbahasan antara dua imam mujtahid Abu Hanifah dan Awza’I mengenai masalah mengangkat kedua belah tangan selepas bangun dari rukuk. Imam Awza’i mengatakan:
“Saya meriwayatkan dari Salim, dari Nafi’ dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. mengangkat tangan dalam solat Baginda s.a.w.”
Lalu Imam Abu Hanifah menjawab:
“Saya meriwayatkan dari Hammad, dari Ibrahim An-Nakh’i dari ‘Alqamah dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah s.a.w tidak mengangkat tangan Baginda s.a.w.”
Imam Awza’i membalas:
“Saya membawa sanad (rangkaian periwayat) yang lebih sedikit dan tuan ingin berhujah dengan sanad yang lebih perantaraannya?” (Mengikut pendapat ulama hadis, hadis yang lebih kurang perantaraannya antara perawi dengan Baginda s.a.w adalah lebih kuat dari hadis yang mempunyai lebih perawi, seperti yang tertera di atas bahawa antara Imam Awza’i dan Rasulullah s.a.w hanya tiga perawi dibandingkan dengan Imam Abu Hanifah yang mempunyai empat perawi).
Jawab Imam Abu Hanifah:
“Hammad lebih faqih daripada Salim, Ibrahim An-Nakh’i lebih faqih daripada Nafi’ dan ‘Alqamah lebih faqih daripada Ibnu Umar walaupun beliau adalah seorang sahabat Nabi s.a.w. Dan Ibnu Mas’ud adalah Ibnu Mas’ud (siapakah yang dapat menafikan kefaqihan Ibnu Mas’ud?).”
Di sini Imam Abu Hanifah mengambil kira
faktor kefaqihan perawi dalam mengeluarkan fatwa dan bukan bersandarkan kepada
kekuatan dan nilai sesebuah hadis semata-mata. Pun begitu perlu diingatkan
bahawa menurut pendapat Imam Syafie mengangkat tangan selepas rukuk
adalah sunnah kerana ia adalah amalan penduduk Tanah Haram dan Syam, yang mana
terdapat sekurang-kurangnya 35,000 sahabat dikebumikan di Syam.
Dalam sebuah hadith riwayat Sunan, Nabi s.a.w. bersabda:
"Semoga Allah ta’ala menyegarkan fikiran orang yang mendengar perkataanku, lalu dia menyampaikannya sepertimana yang dia dengar. Betapa ramai orang yang disampaikan itu lebih memahami dari si pendengar asal itu sendiri."
Di sini Nabi s.a.w. sendiri mengkategorikan antara mereka yang menghafal
hadis dan mereka yang memahami hadis.Kerana itulah Imam A’mash salah seorang
perawi Bukhari telah berkata kepada anak murid beliau Imam Abu Hanifah :
“Kamu wahai golongan fuqaha’ adalah doktor dan kami (golongan muhaddithin) hanyalah penjual ubat.”
Dalam I’lam al-Muwaqqi’in Imam Ibnul-Qayyim meriwayatkan bahawa satu ketika Muhammad bin Ubaidullah bin Munadi telah mendengar seorang lelaki bertanya kepada guru beliau Imam Ahmad bin Hanbal:
“Apabila seseorang itu menghafal 100,000 hadith, adakah dia dikira sebagai seorang yang faqih?”
Imam Ahmad menjawab: “Tidak.”
Dia ditanya lagi: “Sekiranya 200,000 hadith?”
Balas beliau: “Tidak.”
Orang itu bertanya lagi: “Sekiranya 300,000?”
dan sekali lagi Imam Ahmad menjawab tidak.
Kemudian orang itu bertanya: "Bagaimana sekiranya dia menghafal 400,000 hadith?”
Lalu Imam Ahmad mengisyaratkan dengan tangan beliau, “Lebih kurang begitulah.”
Riwayat di atas memberi gambaran jelas kepada semua, dengan hanya mempelajari beberapa ribu hadis belum tentu kita mampu untuk melayakkan diri kita dalam mengeluarkan pendapat sewenang-wenangnya. Apatah lagi bila hanya tahu beberapa kerat hadis?
MENGAPAKAH
KITA PERLU BERMAZHAB?
Inilah soalan yang sering diajukan oleh ghair muqallidin (golongan tidak bermazhab). Jawapannya amat ringkas:
Apabila kita tidak
mempunyai ilmu yang cukup maka wajib untuk kita mendengar mereka yang paling
arif, dan sekiranya kita mempunyai ilmu yang cukup maka haram untuk kita
mengikut mana-mana mazhab.
Ini bersesuaian dengan mafhum firman Allah ta’ala dalam surah al-Mulk apabila Allah ta’ala menceritakan perihal penduduk neraka:
"Dan mereka berkata: 'Sekiranya kami mendengar (patuh) atau kami memahami (akan agama) maka sudah tentulah kami tidak akan menjadi penduduk Sa’ir (Neraka)".
Walaupun ayat di atas adalah berkenaan dengan iman, tetapi memandangkan konteks ayat adalah luas maka ulama berhujah tentang betapa pentingnya patuh kepada yang mahir. Dan sekiranya kita tidak mahu patuh maka kita sendiri mestilah menjadi dari golongan yang berakal dan memahami sedalam-dalamnya.
Sekiranya kita tidak
berhati-hati, maka dikhuatiri kita akan terjebak lalu tergelungsur jatuh dan
jauh menyimpang dari kehendak syariah walaupun pada asalnya niat yang sebenar
adalah untuk menegakkan hukum Allah di atas muka bumi bersesuaian dengan yang
di bawa oleh Baginda s.a.w.
Amalan ulama yang jauh lebih mahir berbanding kita sendiri adalah hujah yang kuat betapa kita tidak sepatutnya dengan sewenang-wenang mengeluarkan pendapat sendiri.
Amalan ulama yang jauh lebih mahir berbanding kita sendiri adalah hujah yang kuat betapa kita tidak sepatutnya dengan sewenang-wenang mengeluarkan pendapat sendiri.
Nama-nama seperti
Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasa'i, Ibnu Majah, Tahawi, Ibnu Hajar,
Ibnu Rushd, Sayuti, Ibnu Kathir adalah antara mereka yang bertaqlid dengan
imam-imam mujtahid yang datang sebelum mereka.
Golongan yang tidak mengikut mazhab pada hari ini banyak menggunakan pendapat Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim dalam membahaskan pendapat mereka. Tidakkah mereka sedar bahawa keduanya adalah antara ulama ulung dalam mazhab Hanbali? Dan mengapa tidak sahaja mereka digelar Taimi sekiranya mereka merasakan bahawa pendapat Ibnu Taimiyyah sahaja yang berasaskan al-Quran dan Sunnah?
Adakah imam-imam
mujtahid terdahulu tidak memahami sunnah sedangkan zaman mereka jauh lebih
dekat dengan zaman Baginda s.a.w. dan para sahabat kalau nak dibandingkan
dengan Ibnu Taimiyyah yang datang enam hingga tujuh abad selepas imam-imam
mujtahid?
Hakikatnya apabila
kita berpegang kepada pendapat imam mujtahid, kita sudahpun berpegang kepada
dalil dan tali yang kukuh. Imam Dzahabi seorang ahli sejarah yang terkenal dan
alim mengenai ilmu-ilmu perawi hadis dalam kitab-kitab beliau tidak pernah
berbahas mengenai imam-imam mujtahid. Ini kerana penerimaan umum dan kehebatan
imam-imam mujtahid mencapai darjah mutawatir, iaitu mustahil untuk orang ramai
bersepakat untuk berbohong dalam menyatakan keunggulan imam-imam
tersebut.
Ghair muqallidin hari
inipun lebih banyak berpandukan pendapat ulama yang tidak mengikut mazhab
seperti mereka antaranya Syeikh Nasirudin al-Albani. Persoalannya sekarang
apabila mereka mengikut al-Albani maka mereka sahajalah Ahlusunnah wal-jama’ah.
Dan apabila kita terikat dengan pendapat-pendapat Syafie maka kita tidak
digelar sebagai Ahlussunnah. Di manakah keadilan?
Jadi, apabila kita
sedia maklum bahawa ilmu yang ada pada kita hari ini belum tentu cukup untuk
kita berbahas segala dalil dalam sesuatu masalah agama, apakah hak kita untuk
berijtihad apatah lagi memberi keizinan umum kepada orang-orang awam untuk
berijtihad sendiri? Sedangkan tahap pemahaman dalam kalangan ulama ada bezanya,
apakah perlu kita menyusahkan orang ramai untuk berfatwa?
Sumber : HarakahDaily.Net
Penulis : Abdul
Latif Rahbar
No comments:
Post a Comment