SALAM MAHABBAH BUAT SEMUA SAHABAT

Saturday, 12 January 2013

Syarah Burdah: Bait 14:Nafsu Ammarah




فَإِنَّ أمَّارَتِي بِالسُّوءِ مَا تَّعَظَتْ        مِنْ جَهْلِهَا بِنَذِيرِ الشَيْبِ وَ الهَرَمِ

“Sesungguhnya nafsu ammarahku yang menyeru kepada kejahatan tidak mengambil nasihat kerana kejahilan terhadap pembawa peringatan iaitu uban dan ketuaan”

Nafsu Ammarah

Nafsu ammarah merupakan salah satu martabat dari nafsu. Tiada kerjanya melainkan menyeru kepada kejahatan. Kedudukannya di bahagian dada. Allah SWT telah memberi peringatan berkenaan tabiat nafsu ammarah ini di dalam kitab-Nya yang mulia. Firman Allah Taala:

“sesungguhnya nafsu ammarah menyeru kepada kejahatan” (surah Yusuf: 35)

Wajar diketahui bahawa tingkatan nafsu manusia terbahagi kepada tujuh. Nafsu ammarah merupakan martabat atau tingkatan nafsu yang paling rendah. Disana ada nafsu lawamah, mulhamah, mutmainah, radhiah, mardhiah, kamilah dan radhiah.

Nafsu ammarah ini nafsu yang paling keras, rendah dan paling jahat. Kerjanya, membisik kepada kejahatan. Sifat ammarah ini jika kita mahu lihat ada atau tiada di sisi kita ialah sekiranya kita melakukan dosa, kita tidak merasai yang kita bersalah. Begitu juga di kala membuat kebaikan. Tiada perasaan jua. Sembahyang atau tidak sama sahaja. Sifat utamanya adalah:

Kedekut,
Tamak haloba,
Panjang angan-angan,
Mereka bersifat sombong,
Kasih pada kemegahan,
 Mereka meronta-ronta mahu dikenali, gilakan kemasyhuran,
Bersifat hasad dengki,
Dendam kesumat,
Sifat khianat,
Lalai kepada Allah.

Pandangan ulamak tasauf, orang yang berada pada tahap ini, tidak terjamin syurga. Tiada jaminan syurga bagi mereka meskipun mereka dari golongan alim sekalipun. Perlu jelas, kealiman tidak menjamin hati bersih dari mazmumah. Malah mereka lebih berpotensi bergelar ahli neraka berbanding manusia lain. Orang yang banyak beramal juga tidak semestinya hatinya bersih. Ya, dari segi kuantiti, kemenangan milik mereka. hati mereka tetap kotor selagi mereka belum di bawah payung pimpinan seorang mursyid yang haq.

Imam Bushiri rhm menerangkan di dalam baitnya bahawa nafsu ammarah beliau sentiasa menyeru kepada kejahatan lantaran keengganan mengambil nasihat. Nafsunya enggan kerana kejahilanya terhadap pemberi peringatan iaitu uban dan ketuaan.

Kejahilan Terhadap Peringatan Uban Dan Ketuaan

Perkataan penyair(( من جهلها ),kerana kejahilan nafsu ammarahkku merupakan alasan bagi perkataan penyair sebelum ini (( ما اتعظت )), tidak menerima nasihat. Maksudnya, nafsu “ammarahku tidak menerima nasihat kerana kejahilan nafsu ammarahku”. Sesungguhnya penyair mencela nafsunya kerana tidak menerima nasihat disebabkan kejahilan nafsu ammarahnya terhadap peringatan-peringatan yang diberikan walhal  manusia mempunyai kemmapuan dan ruang menghasilkan sebab-sebab mendapatkan ilmu.
Hendaklah di ketahui kedatangan uban dan ketuaan kepada manusia membawa peringatan yang besar. Apa yang jelas, kedua-duanya menghambat fikiran manusia kepada satu kenyataan yang pasti iaitu kematian. Jika kedua-duanya boleh bersuara, mungkin sudah keduanya berkata kepada sekelian manusia:” hai manusia, usiamu sudah di penghujung, aku ingin berpesan kepadamu bertaubatlah dan kembalilah kepada Tuhanmu sebelum segalanya berakhir”.

Itulah hikmah uban dan ketuaan. Meskipun kedua-duanya datang tanpa di undang perginya di alu-alukan, namun keduanya tetap datang mengzahirkan kasih sayang Allah Taala kepada kita. Sejenak kita berfikir, bagaimana jika tiba-tiba Allah Taala menarik nyawa kita tanpa datangnya peringatan? Alangkah malangnya pergi tanpa sempat kembali ke pangkal jalan. Mudahan-mudahan dengan peringatan sedemikian rupa, kita sentiasa muhasabah sebelum melakukan sesuatu perkara seolah-olah ada bisikan:” ajal akan menjemputmu”.

Maka kejahilan adalah sebab nafsu ammarah semakin berkuasa. Benarlah kata al Imam.
Mohon doa kepada Allah moga-moga kita selamat dari tipudaya nafsu ammarah yang membutakan hati manusia dari melihat di sebalik uban di rambut dan kedut di tangan mereka. Lantaran kejahilan, mereka tiada pernah tahu apakah matlamat kehidupan mereka, apakah hakikat tujuan mereka di ciptakan di atas muka bumi ini. Apakah mereka lupa kan firman Allah Taala:

"Tidak Aku Jadikan Jin dan Manusia Melainkan Untuk Menyembah Aku(Allah)"(Az-Zariyat:56)

Oleh itu, buangkan kejahilan, kembali kepada ilmu sejajar dengan firma Allah SWT di dalam Surah Faathir:

“adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui”(surah Faathir:28)

Berhubung syair di atas, dapat difahami secara sindiran, “adakah sama orang-orang yang mengetahui peringatan uban dan ketuaan dengan orang-orang yang tidak mengetahui peringatan dua perkara tersebut”.

Setelah ada ilmu, janganlah ilmu sekadar menjadi teori semata-mata tanpa mengamalkannya. Berilmu tetapi tidak beramal adalah tanda ilmu yang dituntut tidak manfaat kepada penuntut ilmu bahkan ilmu itu menjadi hijab menyebabkan mereka semakin jauh dari Allah Azz Wa Jalla.  Ingatlah pesanan Rasulullah SAW:

“manusia paling teruk azabnya di hari akhirat kelak ialah orang berilmu yang Allah Taala tidak memberi manfaat dengan ilmunya”(dikeluarkan oleh Tabrani dan Baihaqi)

Antara bentuk godaan syaitan terhadap penuntut ilmu sebagaimana keterangan Imam Ghazali di dalam kitab bidayatul hidayah, syaitan membaca kepada penuntut ilmu akan hadis-hadis tentang kelebihan ilmu dan ketinggian darjat ulama’ tetapi syaitan melalaikan penuntut dengan ilmu hadis Rasulullah saw berkenaan kecaman kepada mereka yang ada ilmu tetapi jauh dari hidayah seperti Sabda Rasulullah saw:

“Barangsiapa bertambah ilmu tetapi tidak bertambah hidayah, tidak bertambah kedudukannya disisi Allah melaikan jauh”(dikeluarkan oleh Ad Dailamiy)

Ya, memang ramai penuntut ilmu selesa dan terleka. Seolah-seolah selangkah kaki meraka sudah berada dalam Syurga walhal kedua kaki mereka mesti dilepaskan dari neraka.

Ayuh teman, kita berdoa sebagaimana doa yang di ajar oleh Rasulullah saw:

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, amalan yang tidak terangkat dan doa yang tidak di dengari”(dikeluarkan oleh Ahmad)



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...