SALAM MAHABBAH BUAT SEMUA SAHABAT

Thursday, 24 January 2013

Syarah Burdah: Bait 16: Menyembunyikan Uban


لو كنت أعلم أني ما أوقره           كتمت سرا بدا لي منه بالكتم

“Sekiranya aku mengetahui bahawa aku tidak boleh menghormatinya[tetamu], sudah pasti aku sembunyikan rahsia yang terzahir bagiku iaitu uban dengan inai”

Perkataan penyair, لو كنت أعلم أني ما أوقره :(sekiranya aku mengetahui bahawa aku tidak menghormatinya).
Tatkala al Imam menyatakan bahawa nasihat uban tidak sepatutnya di abaikan, al Imam jua mengadu nafsu ammarah tidak mendengar nasihat dan al imam telah memberi teguran yang baik disamping mengherdik perbuatan-perbuatan manusia yang tidak menyedari hal demikian. Lantas al Imam berkata:

لو كنت أعلم أني ما أوقره: (sekiranya aku mengetahui bahawa aku tidak menghormatinya)

Berdasarkan pendapat yang sahih, pengertian Ilmu dan makrifat adalah sama.

Al Imam menyebut أني ما أوقره :(pasti sesungguhnya aku tidak menghormatinya) dengan membawa pengertian berikut:

 أني ما أعظمه بفعل الجميل و ترك القبيح استحياء منه

“pasti sesungguhnya aku tidak akan memuliakan dengan perbuatan yang baik dan meninggalkan perbuatan tercela kerana malu”

Yang dimaksudkan dengan rahsia (السر) di sini ialah uban yang tumbuh paling awal. Di gelarkan uban dengan sir kerana sebelum uban terzahir, ia tersembunyi.

Seterusnya lihat perkataan al Imam, بدا لي . al Imam menyandarkan لي (bagi saya) kerana apabila uban turun kepada seseorang, kebiasaanya kehadiran ubat  jelas disedari oleh seseorang. Hal ini kerana manusia sangat mengambil penting penampilan diri mereka.

Maksudnya sekiranya aku mengetahui awal-awal bahawa nasihat uban tidak sepatutnya di abaikan, perihal nafsu ammarah dan kejahatan perangai yang tidak elok dan tambahan pula aku pernah tidak menghormati uban, yakni aku tidak mengerjakan amalan-amalan soleh dan tidak meninggalkan maksiat kerana malu akan terhadap uban, nescaya aku tutup rahsia iaitu aku menyembunyikan.

Bait syair ini sebagai peringatan tentang memuliakan uban. Sesungguhnya Allah SWT menamakan uban sebagai kemuliaan (وقار). Di riwayatkan:

Orang terawal melihat uban ialah Nabi Ibrahim a.s. lalu Nabi Ibrahim bertanya kepada Allah:
Apakah ini ya Rabb?
Jawab Allah Taala:
Kemuliaan ya Ibrahim!
Lantas Nabi Ibrahim meminta:
Ya Allah, tambahkan pada aku kemuliaan.
Lalu terjadi dan uban memenuhi kepala Nabi Ibrahim a.s
Di dalam hadis qudsi, Allah Taala berfirman:
الشيب نوري
“Uban ialah cahaya Aku”
Lihat: Kasyful Khafa(22/2), Faidhul Qadir(184/4) dari Hadis Anas dengan lafaz الشيب نور




Friday, 18 January 2013

Syarah Burdah: Bait 15: Oh Uban!




وَ لاَ أَعَّدَتْ مِنْ الِفعْلِ الجَمِيلِ قِرَى      ضَيْفٍ أَلَمَّ بِرَأْسِي غَيْرَ مُحْتَشَمِ       

“Dan nafsu ammarahku tidak memuliakan tetamu yang menetap di kepalaku tanpa rasa malu, hidangan dari perbuatan yang baik”

Perkataan penyair  و لا أعدت من الفعل الجميل قرى hingga akhir bait ialah athaf sambungan dari bait ما اتعطت.
Seolah-olah susunan kalam(berdasarkan bait sebelum ini):

 فَإِنَّ أمَّارَتِي بِالسُّوءِ مَا تَّعَظَتْ و لا أعدت من الفعل الجميل قرى
“Maka sesungguhnya nafsu ammarahku sentiasa menyeru kepada kejahatan, tidak mendengar nasihat dan tidak bersedia memuliakan (tetamu) hidangan perbuatan yang baik “       

Athaf di atas adalah athaf khusus atas umum ( عطف الخاص على العام  )

Kerana bila di sebut nasihat, ia boleh membawa makna amalan-amalan soleh dan menjauhi dari perbuatan tercela. Adapun jika di sebut menyediakan hidangan, tiada memberi maksud yang lain melainkan amalan-amalan soleh.

Sambungan tersebut memperincikan makna bait sebelum ini. Apa yang di fahami sebelum ini, nafsu ammarah tidak mengambil nasihat. Maka apakah yang di kehendaki mengambil nasihat? Mengambil nasihat boleh jadi membawa makna mengerjakan amal-amal baik dan menjauhi perbuatan jahat. Yang dikehendaki mengambil nasihat berdasarkan bait ini ialah dengan menyediakan hidangan perbuatan baik.

 Oleh itu, maksud penyair ما اتعطت (tidak mengambil nasihat)  dijelaskan dengan maksud و لا أعدت من الفعل الجميل قرى, (aku tidak bersedia dengan hidangan perbuatan baik).

Maksud  الفعل الجميل (perbuatan baik) dalam bait ini ialah amalan-amalan soleh secara tidak langsung menerangkan ayat sebelum ini iaitu قرى ضيف (hidangan untuk tetamu) dengan pengertian memuliakan tetamu.

Kaedah bahasa di sini di panggil Istiaarah musharihah murashahah (استعارة مصرحة مرشحة)

Berdasarkan penjelasan kaedah di atas, jelas al Imam menyamakan uban dengan tetamu.
Kerana sesungguhnya rambut bewarna hitam adalah satu kelaziman bagi manusia (( ملازمة للإنسان 

Tatkala uban datang menggantikan rambut hitam, kedatangannya tidak ubah seperti para tetamu dikalangan manusia yang singgah. Sekarang, tetamu itu ada walhal sebelum ini tiada. 
Kaedah al Imam menyamakan uban seperti tetamu ialah istiaar ismi al musyabahah bihi lilmusyabahah ((استعار اسم المشبه به للمشبه

Al Imam menyebut القرى (hidangan) sebagai tarsyihan lil istiaarah (ترشيحا للاستعارة)

Sedia di maklumi bagi hati yang memiliki hidayah, hakikat uban ialah peringatan ke arah berakhirnya tempoh usia seseorang. Sebaik sahaja uban singgah di rambut, seolah-olah uban menasihati lagi menyeru kepada manusia supaya bersegera mengerjakan amalan-amalan soleh yang merupakan bekalan di hari kemudian. Uban menuntut hal itu sebagaimana para tetamu menuntut hidangan hal keadaan memberi isyarat (تلويحا).

Untuk lebih memahami perumpamaan uban seperti tetamu. Lihat kesimpulan berikut:

Uban : menuntut hidangan amalan-amalan soleh untuk bekalan akhirat

Tetamu: menuntut hidangan makanan untuk bekalan perjalanan

‘Menuntut sesuatu’ adalah persamaan antara uban dan tetamu. Amalan soleh menjadi hidangan bagi tetamu. Tetamu yang dimaksudkan sudah pasti merujuk kepada uban.

Imam bushiri menambah lagi bahawa uban berada di kepala manusia tanpa perasaan malu.
Al Imam menyebut غير محتشم dengan makna غير مستحي (tidak tahu malu)Di katakan tidak tahu malu kerana menyinggung uban sebagi tetamu yang tidak tahu malu.

Sayugianya diketahui, antara adab tetamu ialah tidak menetap terlalu lama di kediaman orang. Maka siapa yang bertamu di kediaman orang terlalu lama, itulah ciri orang tidak tahu malu.
Sama hal keadaan dengan uban. Sekiranya uban menumpang di kepala, ia tidak akan pergi melainkan pemiliknya di tarik nyawa. Memang benarlah uban tidak tahu malu.

Sebenarnya jika kita benar-benar berakal nescaya kita akan memahami sindiran syair al Imam Bushiri rhm agar bersegera menyiapkan diri dengan amalan-amalan soleh setelah sedar maksud kunjungan ‘tetamu tidak di undang’ yakni uban. Meskipun tidak di undang, ia tetap tetamu yang mulia. Oleh hal demikian, hendaklah muliakan ‘tetamu’ tersebut dengan hidangan yang baik. Apakah hidangan yang baik? Sebagaimana di terang oleh Imam bushiri iaitu  الفعل الجميل (perbuatan baik) yakni amalan-amalan soleh sebagai قرى hidangan untuk tatapan mereka.

Allah SWT berfirman:

“sesiapa Yang percaya dan berharap akan pertemuan Dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal Yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun Dalam ibadatnya kepada Tuhannya".(al Kahdi:110)

Janganlah kita termasuk golongan yang leka dengan pandangan-pandangan yang ada sehingga gagal menyingkap disebalik hakikat.

Rasulullah saw Bersabda:

“Bersegeralah kamu semua untuk melakukan amalan-amalan yang baik sebelum datang tujuh perkara: Adakah kamu semua menunggu sehingga menjadi fakir yang melalaikan diri kamu semua, atau pun kekayaan yang menjadikan diri kamu curang, atau sakit yang membawa kebinasaan tubuh badan, atau tua yang menjadi nyanyuk, atau mati dengan tiba-tiba, atau pun kedatangan pengaruh dajjal yang ianya adalah seburuk buruk makhluk yang tidak dapat dilihat yang memang dinanti-nanti kedatangannya, ataupun datangnya hari qiamat pada hal hari qiamat itu adalah hari yang paling dahsyat bencananya serta pahit pula penderitaannya” (Riwayat Hadith At-Tirmizi)

Saturday, 12 January 2013

Syarah Burdah: Bait 14:Nafsu Ammarah




فَإِنَّ أمَّارَتِي بِالسُّوءِ مَا تَّعَظَتْ        مِنْ جَهْلِهَا بِنَذِيرِ الشَيْبِ وَ الهَرَمِ

“Sesungguhnya nafsu ammarahku yang menyeru kepada kejahatan tidak mengambil nasihat kerana kejahilan terhadap pembawa peringatan iaitu uban dan ketuaan”

Nafsu Ammarah

Nafsu ammarah merupakan salah satu martabat dari nafsu. Tiada kerjanya melainkan menyeru kepada kejahatan. Kedudukannya di bahagian dada. Allah SWT telah memberi peringatan berkenaan tabiat nafsu ammarah ini di dalam kitab-Nya yang mulia. Firman Allah Taala:

“sesungguhnya nafsu ammarah menyeru kepada kejahatan” (surah Yusuf: 35)

Wajar diketahui bahawa tingkatan nafsu manusia terbahagi kepada tujuh. Nafsu ammarah merupakan martabat atau tingkatan nafsu yang paling rendah. Disana ada nafsu lawamah, mulhamah, mutmainah, radhiah, mardhiah, kamilah dan radhiah.

Nafsu ammarah ini nafsu yang paling keras, rendah dan paling jahat. Kerjanya, membisik kepada kejahatan. Sifat ammarah ini jika kita mahu lihat ada atau tiada di sisi kita ialah sekiranya kita melakukan dosa, kita tidak merasai yang kita bersalah. Begitu juga di kala membuat kebaikan. Tiada perasaan jua. Sembahyang atau tidak sama sahaja. Sifat utamanya adalah:

Kedekut,
Tamak haloba,
Panjang angan-angan,
Mereka bersifat sombong,
Kasih pada kemegahan,
 Mereka meronta-ronta mahu dikenali, gilakan kemasyhuran,
Bersifat hasad dengki,
Dendam kesumat,
Sifat khianat,
Lalai kepada Allah.

Pandangan ulamak tasauf, orang yang berada pada tahap ini, tidak terjamin syurga. Tiada jaminan syurga bagi mereka meskipun mereka dari golongan alim sekalipun. Perlu jelas, kealiman tidak menjamin hati bersih dari mazmumah. Malah mereka lebih berpotensi bergelar ahli neraka berbanding manusia lain. Orang yang banyak beramal juga tidak semestinya hatinya bersih. Ya, dari segi kuantiti, kemenangan milik mereka. hati mereka tetap kotor selagi mereka belum di bawah payung pimpinan seorang mursyid yang haq.

Imam Bushiri rhm menerangkan di dalam baitnya bahawa nafsu ammarah beliau sentiasa menyeru kepada kejahatan lantaran keengganan mengambil nasihat. Nafsunya enggan kerana kejahilanya terhadap pemberi peringatan iaitu uban dan ketuaan.

Kejahilan Terhadap Peringatan Uban Dan Ketuaan

Perkataan penyair(( من جهلها ),kerana kejahilan nafsu ammarahkku merupakan alasan bagi perkataan penyair sebelum ini (( ما اتعظت )), tidak menerima nasihat. Maksudnya, nafsu “ammarahku tidak menerima nasihat kerana kejahilan nafsu ammarahku”. Sesungguhnya penyair mencela nafsunya kerana tidak menerima nasihat disebabkan kejahilan nafsu ammarahnya terhadap peringatan-peringatan yang diberikan walhal  manusia mempunyai kemmapuan dan ruang menghasilkan sebab-sebab mendapatkan ilmu.
Hendaklah di ketahui kedatangan uban dan ketuaan kepada manusia membawa peringatan yang besar. Apa yang jelas, kedua-duanya menghambat fikiran manusia kepada satu kenyataan yang pasti iaitu kematian. Jika kedua-duanya boleh bersuara, mungkin sudah keduanya berkata kepada sekelian manusia:” hai manusia, usiamu sudah di penghujung, aku ingin berpesan kepadamu bertaubatlah dan kembalilah kepada Tuhanmu sebelum segalanya berakhir”.

Itulah hikmah uban dan ketuaan. Meskipun kedua-duanya datang tanpa di undang perginya di alu-alukan, namun keduanya tetap datang mengzahirkan kasih sayang Allah Taala kepada kita. Sejenak kita berfikir, bagaimana jika tiba-tiba Allah Taala menarik nyawa kita tanpa datangnya peringatan? Alangkah malangnya pergi tanpa sempat kembali ke pangkal jalan. Mudahan-mudahan dengan peringatan sedemikian rupa, kita sentiasa muhasabah sebelum melakukan sesuatu perkara seolah-olah ada bisikan:” ajal akan menjemputmu”.

Maka kejahilan adalah sebab nafsu ammarah semakin berkuasa. Benarlah kata al Imam.
Mohon doa kepada Allah moga-moga kita selamat dari tipudaya nafsu ammarah yang membutakan hati manusia dari melihat di sebalik uban di rambut dan kedut di tangan mereka. Lantaran kejahilan, mereka tiada pernah tahu apakah matlamat kehidupan mereka, apakah hakikat tujuan mereka di ciptakan di atas muka bumi ini. Apakah mereka lupa kan firman Allah Taala:

"Tidak Aku Jadikan Jin dan Manusia Melainkan Untuk Menyembah Aku(Allah)"(Az-Zariyat:56)

Oleh itu, buangkan kejahilan, kembali kepada ilmu sejajar dengan firma Allah SWT di dalam Surah Faathir:

“adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui”(surah Faathir:28)

Berhubung syair di atas, dapat difahami secara sindiran, “adakah sama orang-orang yang mengetahui peringatan uban dan ketuaan dengan orang-orang yang tidak mengetahui peringatan dua perkara tersebut”.

Setelah ada ilmu, janganlah ilmu sekadar menjadi teori semata-mata tanpa mengamalkannya. Berilmu tetapi tidak beramal adalah tanda ilmu yang dituntut tidak manfaat kepada penuntut ilmu bahkan ilmu itu menjadi hijab menyebabkan mereka semakin jauh dari Allah Azz Wa Jalla.  Ingatlah pesanan Rasulullah SAW:

“manusia paling teruk azabnya di hari akhirat kelak ialah orang berilmu yang Allah Taala tidak memberi manfaat dengan ilmunya”(dikeluarkan oleh Tabrani dan Baihaqi)

Antara bentuk godaan syaitan terhadap penuntut ilmu sebagaimana keterangan Imam Ghazali di dalam kitab bidayatul hidayah, syaitan membaca kepada penuntut ilmu akan hadis-hadis tentang kelebihan ilmu dan ketinggian darjat ulama’ tetapi syaitan melalaikan penuntut dengan ilmu hadis Rasulullah saw berkenaan kecaman kepada mereka yang ada ilmu tetapi jauh dari hidayah seperti Sabda Rasulullah saw:

“Barangsiapa bertambah ilmu tetapi tidak bertambah hidayah, tidak bertambah kedudukannya disisi Allah melaikan jauh”(dikeluarkan oleh Ad Dailamiy)

Ya, memang ramai penuntut ilmu selesa dan terleka. Seolah-seolah selangkah kaki meraka sudah berada dalam Syurga walhal kedua kaki mereka mesti dilepaskan dari neraka.

Ayuh teman, kita berdoa sebagaimana doa yang di ajar oleh Rasulullah saw:

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, amalan yang tidak terangkat dan doa yang tidak di dengari”(dikeluarkan oleh Ahmad)



Tuesday, 8 January 2013

Pesanan Ayahanda: Hakikat Ilmu Tasauf, Teori dan Intipati


Pesanan Ayahanda:

"Hakikat ilmu tasauf bukan di ajar dalam bentuk ilmu, taarif dan perbahasan, ia tiada kesudahan kerana akan terbelenggu dengan taarif dan perbahasan, maka lahir ramai cendiakawan memperkatakan dan mengajar ilmu tasauf tetapi tiada memilki jiwa tasauf namun mereka menyangka mereka sudah berada dalam tasauf"


Hakikat tasauf adalah dalam bentuk ilmu rasa dan syuhud dalam jiwa yang membuah makrifat dan adab. Sedikit ilmu yang membawa kepada adab, amal dan takwa adalah lebih baik dari banyak ilmu tetapi tiada adab, amal dan takwa. Oleh kerana itu ulama' tasauf amat meniti beratkan adab. Lihat perkataan mereka.

Sebahagian ulama' tasauf berkata: "tasauf semuanya akhlak, sesiapa yang menambahkan akhlak kalian, dia telah menambahkan tasauf terhadap diri kalian"(Nusratun nabawiyah, m/s 22)

Imam Junaid al Baghdadi, Imam rujukan ilmu tasauf berkata: "tasauf ialah menggunakan semua akhlak ketinggian yang terpuji dan meninggalkan semua tingkah laku yang rendah lagi keji" (Nusratun Nabawiah, m/s 22)

Dari keterangan ini, dapat disimpulkan bahawa adab dan akhlak adalah intipati hakikat ilmu tasauf. 

ADAB BUAH ILMU

Adab adalah buah ilmu, adab adalah hal yang lahir dari hati, jika dalam hatinya kebaikan, maka baiklah adabnya, jika hatinya penuh kejahatan, maka jahatlah adabnya. Justeru itu ukuran untuk melihat seseorang itu baik bukan pada ilmu atau amalnya, tetapi pada adabnya. Jika mereka ada ilmu dan amal yang banyak, tetapi tiada memilki adab yang baik, maka ianya menunjukkan ilmu dan amalnya tiada kesan bagi dirinya lantran adanya hijab dgn Allah.

KUNCI PEROLEHI ADAB

Keberkatan mendahului ilmu, tanpa keberkatan maka segala ilmu akan jadi sarang iblis yang membuahkan kesombongan dan keakuan diri(ananiyah). Tanpa keberkatan, tidak akan wujud kasih sayang, kebaikan jiwa dan adab. Bertali ilmu dengan guru yang memilki keberkatan adalah kunci kepada kebaikan seorang insan. Faktor keberkatan kini tiada dalam kamus pendidikan moden sehingga ia membawa kehancuran adab dan amal pada murid dan guru di nstitusi pengajian. 

ZIKIR PEMBERSIH JIWA

Firman Allah Taala:

"Wahai orang-orang beriman, berzikirlah(dengan menyebut nama) Allahm zikir yang sebanyak-banyaknya dan bertasbihlah kepadaNya pagi dan petang"(AL Ahzab 41-42)
Bersihkan jiwa dengan zikir ismu dzat secara sirr tanpa putus pada qalbi, setiap detik jantung berdegup, maka disitulah ismu dzat Allah berbunyi. Ia adalah latihan yang pertama dalam menuju zikir ruh( hakikat)dan sirr( makrifat). 

Dari Abu Hurairah RA, beliau berkata, bersabda Rasulullah saw: Berfirman Allah Taala: 

"Aku disisi sangkaan hambaKu, dan Aku bersamanya apabila dia mengingatiKu. maka jika dia mengingatiKu secara bersendirian, Aku mengingatinya secara bersendirian dan jika dia mengingatiKu di khayalak ramai, Aku mengingatinya di khayalak ramai yang lebih baik dari mereka"(HR Bukhari, Tirmidzi dan Ibn Majah)

ketahuilah, Selagi qalbi tiada mantap zikir, maka tiada berbau dia dengan maqam muraqabah dan musyahadah. Ianya akan lebih mantap apabila jiwa disirami dengan cinta kepada Baginda SAW yang membawa kecepatan dalam perjalanan cinta kepada Allah.

Dari Anas bin Malik RA, bersabda Rasulullah SAW: 

“Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasai kemanisan iman: Siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul lebih dari cintanya kepada yang lain; siapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah (dan bukan kerana suatu tujuan duniawi); dan ia membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (dari kekufuran), sebagaimana bencinya akan dicampakkan ke dalam api.”(HR Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah RA, bersabda Rasulullah SAW:

"Tidak (sempurna) iman salah seorang kamu sehingga aku lebih dicintai dari orang tuanya, anaknya dan semua manusia lainnya."(HR Bukhari dan Muslim)
APABILA HATI LALAI

Apabila hati masih lalai dengan Allah dan penuh kekotoran batin dengan keakuan diri, maka segala dzauk, ilham, kasyaf, makrifat tiada dalam jiwa, maka segala perbincangan ilmu tasauf itu hanya berlegar pada lisan dan kefahaman ilmu, bukan mencapai hakikat tasauf. Tasauf adalah jalan mereka yang benar diakui oleh Allah swt. Dari ilmu tasauf inilah lahirnya para aulia Allah seperti Autad, Abdal, Qutub, Ghaus dan lain-lain lagi dalam wilayah kewalian. Ada pun dalam ilmu yang lain tiada akan lahir para aulia yang dikurniakan ilmu batin dan dicintai Allah.

PENDIDIKAN AGAMA KINI

Pendidikan agama yang ada bermula dari sekolah rendah hingga universiti Islam samada dalam negara atau luar negara kini tidak akan mampu melahirkan para aulia. Begitu juga dengan pendidikan agama di madrasah hari ini juga amat jauh untuk melahirkan para aulia(jika ada, atas inisiatif individu mencari murabbi untuk talaqqin rohani). Hanya dengan jalan mengikuti jalan para aulia saja boleh melahirkan para aulia yang mencapai wilayah tertentu dalam maqam kewalian walaupun zahir mereka itu hanya ilmu fadhu ain dan tak pandai membaca apalagi untuk bicara. Namun mereka adalah golongan sidiqqin dan mukhlisin yg benar disisi Allah.

TASAUF AMALI

Pendidikan yang tiada menjadikan tasauf amali dalam bentuk tauhid dan rasa sebagai dasar utama, maka ia tiada akan mampu melahirkan mereka yang sidiqqin kerana batin mereka tiada disucikan dengan kesucian yang benar dari penyakit syirk batin oleh seorang aulia yang mewarisi ilmu bersanadkan Rasulullah SAW dalam tarbiyah batin sehingga fana' mereka kepada Allah.

TASAUF TEORI

apa yang menyedihkan, ramai memahami ilmu tasauf hanyalah ilmu teks dan bacaan kitab. akibatnya, di madrasah, banyak lahir ahli dhobit kitab (maksud disni kitab tasauf) tetapi tidak ada jiwa tasauf. akibatnya lagi, tasauf dan jalan tazkiyatul nafs terpisah walhal ia seiring. berlaku pemisahan antara teori dan intipati ilmu tasauf sendiri. mempelajari teori semata-mata tanpa di iringi dengan aplikasi(tazkiyatul nafs @ penyucian jiwa) ibarat seperti orang belajar tentang solat tetapi tidak solat. manakah lebih penting, aplikasi atau teori. tanpa aplikasi, jauh untuk mengenal intipati dan merasai hakikat.

MENCARI MURSYID

mencari mursyid menjadi wajib jika disebabkan ia, batin terlepas dari syirik dan kekotoran batin. Kaedah fiqh menyebutkan: 

" tidak sempurna perkara wajib melainkan dengan ia, maka ia menjadi wajib ". 
Menyucikan batin dari syikir adalah wajib, maka mencari mursyid atau murabbi yang boleh melepaskan mereka dari syikir batin menjadi wajib, sesungguhnya tasauf adalah salah satu rukun agama. Tiada sempurna agama seseorang itu tanpa tasawuf, tiada sempurna tasauf seseorang itu tanpa Mursyid yang benar, tiada sempurna mursyid jika tiada membawa bersih dari syirik khafi dan melahirkan adab yang indah dalam jiwa dan zahir.

semoga pencerahan ini membuka tersurat dan tersirat. Wallahulam. semoga mendapat kefahaman. 

Pesanan Ayahanda: Sangkaan Hati


Pencerahan: PESANAN AYAHANDA:

"duhai anakku, jangan biarkan sangkaan hati menjadi hakim kerana hatimu belum benar bersih...Pejamkan mata pekakkan telinga, perbaiki hati pandanglah dengan Nur Allah agar Cinta yang mewangi tiada terpendam dalam kehidupan yang penuh dugaan" (Walid Al Malik).
sedikit coretan dan pencerahan,

ayahanda sering berpesan kepada anakanda tepat pada masa. Sememangnya anakanda mencari kata-kata yang boleh berbahasa terus kepada jiwa. Ayahanda, jiwa kami lemah, bercelaru dan sentiasa berbolak balik tatkala berhadapan bicara-bicara dan telatah manusia. Adakala enak, adakala racun dan sukar untuk membezakan apakah ianya umpatan, adakah ia fitnah atau mungkin ia berita yang benar. Semuanya kalam manusia kini, lantang bersuara kepada seperti kebenaran. Anakanda keliru, apakah anakanda menafsirkan kebenaran itu kerana terpengaruh lafaz seruan kebenaran mereka atau susuk tubuh mereka atau mungkin khabar itu seolah-olah tiada salahnya. Semua khabar kelihatan benar kerana tiada lisan mendakwa mereka salah. Justeru dilema ini wajar ditenangkan memandangkan anakanda berada di dunia tanpa sempadan. Tidak seperti dahulu, semua manusia bermula kanak sehingga warga tua bebas kini menyuarakan apa sahaja hasil akses maklumat sedia ada. Sesungguhnya anakanda terasa cepat terpengaruh apa sahaja akses maklumat yang di baca tanpa mengetahui antara benar dan batil apatahlagi di akhir zaman kini, apa yang benar sering dilihat batil dan yang batil bagaikan benar. lalu ayahanda berkat, "jangan biarkan hati menjadi HAKIM kerana hatimu belum benar bersih".

1-Apa yang anakanda fahami, selagi hati tidak bersih, ia tidak akan sesekali pernah sunyi dari sangkaan buruk. Bila hati rosak maka natijah-natijah(kesan) sering merosakkan. dalam konteks berhadapan bicara fitnah dan penuh dakwaan dunia kini, fikiran sering tersalah memahami, pancaindera kerap kali terdahulu menjatuhkan hukum dan hati biasanya terus berburuk sangka tidak kurang terus bulat-bulat percaya. maka hati kami tidak boleh dibiarkan menjadi hakim kerana lantaran terlalu mengikut kata hati lah, kami terjerumus ke lembah binasa.

2-kata orang, Tuhan sudah berikan pancaindera, kenapa tak di manfaatkan mencari jawapan merehatkan ketengangan jiwa? anakanda merasakan pancaidera ini tidak pantas kerana pancaindera banyaknya berdosa akibatnya hati tiada disucikan. anakanda semestinya mengakui bahawa jika hati kami tidak berhak menjadi hakim, apatahlagi pancaindera. sesungguhnya diketahui pancaindera bekerja apa yang dicetuskan rasa yang terbit dari hati. maka, amat selari pesanan ayahanda yang berkata,"Pejamkan mata pekakkan telinga". maksudnya apa bicara yang datang tanpa diketahui asal-usulnya, sebaiknya, tiada terus melihat dan tiada berterusan mendengar atau lebih mudah difahami diabaikan sedemikian rupa dibimbangi terus termakan fitnah dan hasutan. kata orang, teruskan melihat dan mendengar untuk menilai kebenaran. mungkin ada benarnya bagi suci hatinya, tetapi sekarang, dengan akses maklumat yang pelbagai, manusia sudah terlalu banyak melihat dan mendengar tetapi hasilnya, semakin menggapai kebenaran atau memasuki ruang permusuhan?

3-Kalam akhir ayahanda, "perbaiki hati pandanglah dengan Nur Allah agar Cinta yang mewangi tiada terpendam dalam kehidupan yang penuh dugaan". anakanda yang serba kurang ini memahami, memperbaiki hati adalah penyelesaian bagi soalan dan jawapan yang dipaparkan sebelum ini. hati adalah raja, jika baik ia, baik semua demikian sebaliknya. sebenarnya sebagaimana pesanan ayahanda kepada anakanda dahulu, apa jua berita yang syuhbah bahkan ilmu yang benar sekalipun tetapi singgah di hati yang kotor, maka buah-buahan atau natijah ilmu tersebut tidak akan membawa seseorang makin dekat kepada Allah jua mungkin dia paling jauh dari Allah akibat dilaknat oleh imunya sendiri. ibaratnya, air jernih menyirami benih-benih buah yang rosak. air (ilmu) sudah jernih tetapi kerana benih(hati) kotor, maka buah-buahan yang terhasil, buah yang busuk dan tiada manfaat. maka kiaslah.

4-akhir kata, bila hati sudah baik, pemikiran pun baik serta akhlak bertambah baik. cinta yang dianugerahkan (yakni perasaan cinta, rindu antara makhluk kepada khaliq) kembali menyinar dan suluhannya menerangi apakah sebenarnya kegelapan, dan manakah sebenarnya cahaya kebenaran. Inilah sepatunya yang dicita-citakan. dengan izin Allah, dugaan dunia dan seumpama tidak lagi dilihat ancaman tetapi jambatan untuk mereka mendapat keredhaan Allah dan menggapai maqam kekasih Allah. sekian.

terima kasih ayahanda tercinta.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...