Nama asal Babilon ialah Babil dan dibina oleh Kush (Cush) anak Ham anak Noh alaihi salam. Babil bererti “ Kekacauan – Confusion ”. Walau bagaimanapun Babil mencapai kegemilangannya di bawah pimpinan Namrud anak Kush. Di dalam kitab Bible Buku Genesis dan juga catatan sejarah bukan keagamaan ada mengatakan bahawa Namrud mempunyai tiga matlamat hidup yang dikejar.
Pertama ialah untuk membina bagi dirinya satu negara yang kuat dan beliau telah berjaya mencapai matlamat itu.
Kedua, beliau mahu menyebar agama ciptaannya sendiri, matlamat ini juga telah berjaya dicapai.
Ketiga, Namrud bercita-cita mencipta namanya agar terkenal dalam sejarah,
dan matlamat ini juga berjaya dicapai. Kejayaan Namrud dalam mengejar ketiga-tiga matlamat hidup ini menjadikan Kerajaan Babilon digelar sebagai “kepala emas di antara kerajaan-kerajaan dunia – head of gold amongst all world governments”. Menara Babil (the Tower of Babel) didirikan oleh Namrud sebagai mercu tanda keagungan negaranya itu.
Agama yang di sebar Namrud mencapai kejayaan dan ini terbukti dalam sejarah. Dalam Kitab Bible Buku Isaiah, Bab 14 dan Buku Revelation Bab 17 dan 18, ada mengaitkannya dengan Penyembahan Syaitan. Dan sejarah juga membuktikan bahawa agama ciptaannya itu telah menjadi asas kepada setiap sistem penyembahan banyak tuhan dan kepada setiap mitos walaupun nama tuhan-tuhan yang disembah itu berbeza mengikut tempat dan bahasa penduduk tempatan.
Nama Namrud telah didewakan dan disembah walaupun namanya itu berbeza-beza mengikut tempat. Memangnya satu kenyataan apabila sebuah negara berjaya menakluki satu negara yang lain, agama negara penakluk akan menjadi ikutan penduduk negara yang ditakluk. Zodiak (bintang 12) bangsa Greek mempunyai persamaan dengan zodiak Babilon, dan dalam catatan tamadun Mesir, sistem penyembahan banyak tuhan Greek diambil dari Mesir kuno. Mesir pula mengambil sistem penyembahan itu dari Assyria dan Assyria pula mengambilnya dari Babilon. Begitulah misteri Babilon berkembang dari negara ke negara hingga ia muncul di Rome, China dan India. Di Amerika Utara dan Selatan dan juga di Nusantara ini kita boleh didapati kesan sistem penyembahan yang pada asasnya sama, wujud di kalangan kaum etnik setempat.
Sejarah bersetuju dengan fakta yang terdapat dalam kitab-kitab agama samawi bahawa agama Babilon ini bukanlah agama asal penduduk awal dunia (sebelum zaman Noh alaihi salam). Bahkan agama Babilon ini merupakan agama yang pertama hasil ciptaan manusia iaitu Kush dan anaknya Namrud, mengikut arahan Iblis yang sentiasa mahu menyesatkan manusia. Ahli sejarah seperti Wilkinson dan Mallet telah membuktikan dengan tepat melalui dokumen-dokumen sejarah kuno bahawa manusia awal di dunia ini menyembah SATU Tuhan Yang Agung, Qadim dan Yang Ghaib. Tuhan Yang Maha Penyayang, penuh Rahmat dan Adil! Tetapi Iblis telah menyesatkan manusia dari kebenaran, membisikkan ke dalam akal dan hati manusia agar ingkar kepada Allah Tuhan Yang Esa dan menolak kebenaran.
Allah Taala berfirman di dalam Al Quran maksudnya;
“ Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan......”
(Surah Al Baqaarah, ayat 213)
Dalam menafsirkan ayat di atas, Ibn Abbas ra meriwayatkan;
“Antara Noh alaihi salam dan Adam alaihi salam terdapat 10 generasi, kesemuanya mengikut syariat Tuhan yang haq, kemudian mereka berselisih (bertukar akidah). Jadi Allah telah menurunkan nabi-nabi sebagai pembawa berita gembira dan berita takut.“
(Sahih Muslim dan Musnad Imam Ahmad)
Kush dan anaknya Namrud telah berjaya digoda oleh Iblis. Agama Tauhid telah bertukar menjadi agama taghut. Di Babilon Iblis telah menjadi tuhan dengan menipu manusia. Darilah agama menyembah banyak tuhan, hingga lahirlah pula doktrin “trinity” “satu tuhan dalam tiga”. Bagaimanakah doktrin “trinity” ini pada mulanya dinyatakan? “Trinity” ini dinyatakan dengan simbol tiga segi sama (triangle). Dia diresapkan ke dalam agama Kristian Roman Katholik sebagai melambangkan “ bapa, anak dan ruh suci ” (Father, Son and the Holy Ghost) ”. Di dalam agama Hindu “Trinity” dilambangkan dengan Krishna, Vishnu dan Shiva.
Inilah asas doktrin Roman Katolik - bapa, anak dan ruh suci. Dan inilah juga asas agama baru yang sedang sibuk disebarkan oleh ahli-ahli keruhanian sekarang sebagai agama baru - New Age Religions.
Penyembahan kepada ‘ibu dan anak’ (mother and son) juga bermula di Babilon. Di Mesir ibu dan anak ini dipanggil Isis dan Osiris. Di India Isi dan Iswara. Di China juga terdapat patung ibu dan anak yang serupa. Bagi penganut Roman Katolik ia menjadi “Madonna and child”.
Penyembahan ibu dan anak yang asal di Babilon ialah penyembahan kepada Semiramis, isteri Namrud yang dipanggil juga Rhea di kawasan sebelah timur. Pada gambaran patungnya, di dalam kendungan Semiramis terdapat seorang bayi yang pada hakikatnya melambangkan seorang jejaka yang kacak dan perkasa. Di dalam kitab Bible Buku Ezekiel 8:14 beliau dipanggil Tammuz. Di kalangan penulis sejarah kuno ia dikenali sebagai Bacchus. Pada Assyrian ia adalah Ninus. Sungguhpun ia bayi dalam kendungan ibu tetapi pada hakikatnya ia melambangkan suami dan juga anak kepada si ibu. Semiramis adalah isteri Namrud. Ninus itu adalah Namrud. Ninus atau Namrud adalah juga raja kerajaan Assyria kemudiannya, seorang yang dikatakan mula-mula melakukan peperangan. Di dalam kitab Bible Buku Genesis Bab 10, ada mengatakan kerajaan awal Namrud ialah Babel, Erech, Accad dan Calneh di bumi Shinar. Dan kemudiannya beliau membina Nineveh. Kalau mengikut sejarah, ayah Ninus ialah Bel, pengasas Babilon. Tetapi dalam sejarah Mesir Bel dipanggil Hermes yang bermakna ‘anak Ham’ seorang penyembah berhala yang terkemuka dan dipanggil juga dengan nama Mercury di Greek. Bel adalah Kush bapa Ham.
Oleh itu Kush (Cush) atau Bel atau Hermes atau Mercury bersama anaknya Namrud atau Ninus atau Bacchus atau Tammuz ini adalah pengasas kepada sistem penyembahan banyak tuhan dan apabila manusia mula mendewakan (bertuhankan) manusia beliau (Kush) menjadi bapa kepada segala tuhan. Dalam metos Roman pula Kush dikenali sebagai Janus.
Isteri Namrud, Semiramis memanggil Namrud ZEROASHTA (bermakna benih seorang wanita yang dijanjikan - woman’s promised seed)
Di Babilon juga tuhan-tuhan dilambangkan dengan matahari, bulan dan bintang. Objek utama penyembahan ialah matahari sebagai lambang tuhan bapa. Oleh itu tuhan utama ialah matahari dan dipanggil Baal. Pokok pengetahuan di Syurga diubah dengan melambangkan ular (serpent) iaitu Iblis sendiri. Tidak lama selepas itu matahari dilambangkan pula sebagai ular dan dengan itu tercapailah cita-cita Iblis laknatullah untuk menjadi tuhan yang disembah!
“ Patutkah kamu menyembah BAAL dan tinggalkan sebaik-baik Pencipta. (Iaitu) Allah Tuhanmu dan Tuhan bapa-bapa kamu yang terdahulu? “
(Surah as-Saffat, ayat 125-126)
“Mereka berkata : Janganlah kamu tinggalkan tuhan-tuhan kamu dan janganlah pula kamu tinggalkan Wad, Suwa’, Jaghuts, Ya’uq dan Nasr”
(Surah Noh, ayat 23)
Dalam mentafsirkan ayat Al Quran di atas Ibn Abbas ra berkata;
“ Ini adalah berhala-berhala dari zaman Noh yang kemudiannya sampai kepada Orang-orang Arab “
Muhammad Asad dalam kitab tafsir Al Qurannya “ The Message of the Quran ” pula menulis;
“ Sebagaimana terbukti dari sumber sejarah awal, lima tuhan-tuhan ini adalah antara yang disembah oleh orang-orang Arab zaman jahiliah. Penyembahan kepada tuhan-tuhan ini kemungkinannya dibawa masuk ke tanah Arab dari Syria (Assyria) dan BABILON. “
Di dalam Kitab Bible ada ditulis;
“ Dan bani Israel membuat kejahatan pada pandangan Tuhan dan menyembah BAALIM…dan mereka meninggalkan Tuhan dan menyembah BAAL dan ASHTAROTH. Dan kemurkaan Tuhan yang teramat terhadap bani Israel “
(Bible : Judges 2:11-14)
Salah satu objek utama di dalam penyembahan Baal yang mengakibatkan Tuhan menghancurkan Israel ialah “OBELISK”. Obelisk adalah satu lambang berbentuk satu tiang tirus menjulang ke langit. Bagi umat Islam yang menunaikan ibadah haji, melontar di Jamrat ul-Aqabah itu ialah dengan cara melontar 7 biji anak batu ke arah satu tiang di tengah-tengah satu bulatan. Berbagai tafsir dibuat di sebalik rukun melontar itu. Setengah ulama mengatakan kita melontar syaitan. Sesetengah-tengah ulama mengatakan sebagai simbul membuang nafsu (al-amarah) yang ada pada diri kita. Dan di sini kita katakan ia mengisyaratkan kita umat Islam melontar batu kepada “obelisk” lambang kepada Baal tuhan Namrud dan juga tuhan yang masih disembah oleh sesetengah manusia hari ini. Bentuk tiang di Jamrat ul-Aqabah itu adalah serupa dengan bentuk “obelisk” yang masih ada hari ini, hanya saiznya lebih kecil.
Di kota Vatican pusat agama Kristian mazhab Roman Katolik terdapat satu “obelisk” ini yang berdiri dengan megah di St. Peter Basilica. Di Trafalgar Square dan Washington D.C. juga terdapat “obelisk” ini berdiri tegap menjadi mercu tanda 2 negara yang besar iaitu Britain dan Amerika Syarikat. Apakah kaitannya “obelisk” yang melambangkan simbul Baal tuhan matahari Babilon ini dengan Roman Katolik dan juga Britain dan Amerika Syarikat? Ketiga-tiga “obelisk” ini mengikut fakta sejarah dibawa dari Mesir.
Iblis laknatullah pada asalnya makhluk yang patuh kepada Allah dan berilmu, tetapi oleh kerana keangkuhannya, ia ingkar kepada Allah Taala apabila disuruh sujud kepada Adam alaihi salam, lantas diisytihar menjadi musuh manusia yang nyata. Ia berjanji kepada Allah Taala akan menyesatkan manusia dari kebenaran. Tetapi bagi Allah Taala hanya mereka yang lalai dari mengingati-Nya dan syirik kepada keesaan-Nya yang dapat disesatkan Iblis. Orang-orang mukmin yang sentiasa mengingati Allah dan patuh kepada perintah-Nya akan dilindungi.
Di Babilon Iblis telah berjaya dan hasilnya hingga ke hari ini pengikut-pengikutnya masih ramai dan mereka inilah yang menjadi ahli kumpulan sulit yang sedang bergerak untuk menguasai dunia dan manusia. Kepalsuan yang dibawa untuk menyesatkan manusia digambarkan sebagai kebenaran dan usahanya itu telah berjaya memperdayakan manusia sejak berzaman. Dan perlu diingat bahawa perancangan mereka ini adalah di peringkat akhir. Dan pentas terakhir mereka ialah penzahiran penyelamat mereka yang telah mendapat pangkat “kenabian atau kerasulan” dan bagi umat Islam kita kenal ia sebagai ‘al-Masih ad-Dajjal’.
By: ami kami